"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aksi tak senonoh di jirat, pasangan fail rayuan terhadap sabitan, hukuman

Predeep Nambiar

Peguam berkata Mahkamah Tinggi akan diminta semak semula hukuman penjara setahun dan mempertimbangkan sama ada hukuman itu berlebihan.
couple jirat cina
Halila Abu Bakar dan M Jegathesan diiringi polis ke Mahkamah Majistret George Town semalam.
GEORGE TOWN: Pasangan yang disabitkan kesalahan melakukan kelucahan melampau di tanah perkuburan di sini memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi hari ini untuk mencabar sabitan dan hukuman dijatuhkan ke terhadap mereka.

M Jegathesan, 58, dan Halila Abu Bakar, 37, dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret semalam, selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan tidak senonoh di tanah perkuburan Cina minggu lalu.

Rayuan itu difailkan peguam Naran Singh yang berkata, hukuman penjara itu “terlalu berat”, justeru Mahkamah Tinggi diminta menyemak semula hukuman berkenaan serta mempertimbangkan sama ada hukuman terbabit berlebihan.

Semalam, pihak pendakwaan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan sebagai amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan tidak senonoh.

Ketika itu, peguam R Purantharan yang mewakili pasangan terbabit memohon hukuman lebih ringan atas alasan Jegathesan perlu menjaga isterinya yang menghidap strok serta dua anak mereka, manakala Halila pula tidak bekerja dan ditanggung keluarga.

Naran berkata, mahkamah mungkin diminta meneliti sama ada hukuman yang dijatuhkan sejajar fakta kes dan keadaan peribadi tertuduh.

Kes ini mula mendapat perhatian selepas klip video tular di media sosial menunjukkan pasangan itu melakukan hubungan seks di tanah perkuburan Cina di Batu Gantong Ahad lalu. Laporan polis kemudiannya dibuat seorang lelaki 69 tahun.

Video ‘wang perlindungan’: PKR WP mahu 2 ahli MPP lepas jawatan

FMT Reporters

Majlis pimpinan kata langkah itu untuk beri laluan kepada siasatan polis dan dalaman.
MPP minta wang perlindungan
Tangkap layar video memaparkan dua lelaki memperkenalkan diri sebagai ahli MPP ketika meminta wang daripada sebuah pusat urut.
PETALING JAYA: PKR Wangsa Maju diarah memaklumkan kepada dua ahli majlis perwakilan penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan (WP) supaya melepaskan jawatan serta-merta, susulan dakwaan meminta ‘wang perlindungan’ daripada sebuah premis perniagaan.

Majlis pimpinan PKR WP berkata langkah itu untuk memberi laluan kepada proses siasatan polis dan siasatan dalaman tanpa sebarang gangguan.

“Parti tidak akan bertolak ansur dan tidak akan melindungi mana-mana ahli atau wakil yang terlibat dalam amalan pemerasan, wang perlindungan atau salah guna kuasa.

“Keadilan mesti bermula dari dalam parti sendiri,” kata Pengerusi Azman Abidin, susulan mesyuarat biro politik PKR WP.

Azman memaklumkan jawatankuasa disiplin juga diarah menjalankan siasatan menyeluruh, dan melaporkan dapatan kepada biro politik dalam masa terdekat.

Baru-baru ini, tular rakaman kamera litar tertutup memaparkan dua lelaki memperkenalkan diri sebagai ahli MPP ketika meminta wang daripada sebuah pusat urut.

Difahamkan, wang tersebut diminta sebagai balasan untuk mengelakkan tindakan terhadap premis berkenaan susulan aduan penduduk setempat.

Polis memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Kelantan: Air paip Machang ‘upgrade’ jadi ‘kopi O kaw’

KOSMO!
Tangkap layar video memaparkan air kotor yang mengalir dari paip rumah penduduk di Machang.
PETALING JAYA – Masalah air kotor di Machang, Kelantan sejak puasa lalu dilihat masih berterusan sehingga kini sehingga menjejaskan kegunaan harian penduduk.

Dalam satu video tular dimuat naik pengguna Threads @teohwoei, menunjukkan air yang mengalir dari paip rumah penduduk dikenali sebagai Mek Ya kelihatan gelap, berbeza daripada kebiasaan.

“Raya punya pasal…dah upgrade (naik taraf) dari teh tarik kepada kopi O kaw. Semoga dipermudahkan segala urusan orang Kelantan,” tulisnya.

Menurut Mey Ya, fenomena itu berlaku sejak raya ketiga lalu dan wanita berkenaan sempat berseloroh menjemput sesiapa yang ingin merasai sendiri boleh datang beraya dan menikmati air ‘istimewa’ tersebut di rumahnya.

Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan rata-ratanya menuntut tindakan segera piha berwajib terutama  Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

“Hahaha, Kelantan punya air memang unik! Siapa nak cuba kena datang cepat sebelum habis!,” komen faridah_88.

“Macam ni lah baru raya terasa meriah, kopi O kaw paip,” selorh Nazri.

“Aja MB (Menteri Besar) datang beraya rumah, jemput minum air,” kata @c.ulat82.

“Bersabar dan tabah. Bila lah nak elok air kat negeri Kelantan ni,” luah @nescafeoais.

“Harap AKSB cepat bagi penjelasan, takut ada masalah teknikal pula,” kata Azman. – KOSMO! ONLINE