"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

4 geng samun, curi kabel ECRL, TM tumpas babit kerugian RM75,000


Bernama

KUANTAN: Polis berjaya menumpaskan empat kumpulan disyaki terbabit kegiatan samun dan mencuri kabel milik syarikat laluan rel pantai timur (ECRL) dan Telekom Malaysia (TM) menerusi beberapa operasi dari 12 Okt hingga hari ini di sekitar Temerloh serta Mentakab.

Ketua Polis Temerloh, Nasyim Bahron, berkata sepanjang bulan lalu hingga bulan ini, dua kes samun stor simpanan kabel ECRL dan lima kes kecurian kabel TM dilaporkan di sekitar Temerloh, Mentakab serta Lanchang.

Menurutnya, 17 lelaki tempatan berusia 20 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi itu, dengan kerugian dialami ECRL dan TM bagi semua kes itu dianggarkan berjumlah RM75,000.

“Kumpulan pertama dikenali ‘Geng Ravi’ ditumpaskan menerusi operasi dari 12 hingga 15 Okt. Siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai turut terlibat beberapa kes kecurian besi dan kabel di tapak projek serta kilang lama ditinggalkan sejak Julai tahun ini, selain mengesan dua lagi suspek masih bebas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pada 14 Okt lalu, pihaknya berjaya menumpaskan ‘Geng Kepala’ yang dipercayai turut terbabit beberapa kes kecurian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di stor simpanan, kilang dan tepi jalan sekitar Mentakab sejak Ogos lalu.

Jelasnya, polis turut menahan seorang lelaki 28 tahun yang dipercayai anggota ‘Geng Dany’ di Mentakab semalam kerana disyaki mencuri kabel TM, selain kumpulan itu dipercayai pernah aktif melakukan kegiatan sama di sekitar Kuala Lumpur.

“Siasatan mendapati suspek mengaku terbabit beberapa kes kecurian kabel TM di tepi jalan sekitar Mentakab sejak Oktober tahun ini bersama seorang lagi rakan masih bebas.”

Dalam operasi awal pagi ini pula, beliau berkata, pihaknya menumpaskan ‘Geng Mista’ dipercayai turut terbabit beberapa kes kecurian kabel TM dalam lubang lurang dan tiang tepi jalan sekitar Temerloh, Mentakab, Jerantut dan Maran sejak Julai.

“Ketua kumpulan itu turut dikenal pasti anggota Geng Kepala yang ditahan pada 14 Okt, manakala seorang lagi suspek masih bebas.”

Katanya, polis turut merampas pelbagai kenderaan, termasuk sebuah lori, selain gelung dan potongan kabel milik ECRL, TNB serta TM, potongan besi tiang dan pelbagai peralatan mencuri serta memproses kabel.

Menurutnya, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395, 379 dan 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Suami cabut lari elak saman, biarkan isteri terbaring di atas jalan

KOSMO!
KEJADIAN ini berlaku di daerah Rudrapur, negeri Uttarakhand. – XHATEDETECTORS
NEW DELHI – Klip Video seorang lelaki  cuba melarikan diri daripada saman trafik menjadi tular selepas dia memecut laju semasa pemeriksaan polis, meninggalkan isterinya yang terjatuh di atas jalan raya, lapor akhbar The Indian Express hari ini.

Lelaki itu tidak berhenti untuk membantu isterinya bangun, sebaliknya memecut laju.

Kejadian berlaku di Trishul Chowk, daerah Rudrapur, negeri Uttarakhand, baru-baru ini.

Anggota-anggota  polis sedang menyaman individu yang menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran dan tidak memakai  topi keledar.

Penunggang motosikal itu didakwa memecut dan membelok secara mengejut untuk mengelak  anggota polis yang mengarahkannya supaya berhenti.

Isterinya yang membonceng  terjatuh ke atas jalan raya. Seorang anggota polis kemudian membantunya bangun.

Menurut laporan,  wanita berkenaan tidak cedera. Polis turut memberikan nasihat sebelum dia pulang ke rumah.

Video tular itu mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.

 “Suami terbaik tahun ini,” kata seorang netizen.

“Dia pasti berasa sakit, tetapi tidak boleh meluahkan kerana malu ,” kata netizen lain. – AGENSI 

Kelantan: Lelaki dicekup buat perlakuan jijik, tidak senonoh pada kucing

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Anggota polis menahan suspek dalam satu serbuan di Pasir Puteh hari ini.
PASIR PUTEH – Seorang lelaki dicekup selepas dipercayai melakukan perbuatan jijik dan tidak senonoh terhadap seekor kucing di sebuah rumah dekat sini sehingga video kejadian tersebut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, suspek yang berusia 49 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis pagi tadi.

Katanya, semakan mendapati, lelaki itu memiliki rekod jenayah lampau berkait kes dadah dan pecah rumah.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Pasir Puteh di sini untuk prosiding reman esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan semula video berkenaan bagi mengelakkan penyebaran kandungan tidak wajar dan tidak menjejaskan siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 55 saat di media sosial memaparkan perbuatan jijik dan tidak senonoh yang dilakukan seorang lelaki terhadap seekor kucing. – KOSMO! ONLINE